Israk & Mikraj: Antara Ketulinan Wahyu dan Pembohongan Sejarah

1.Peristiwa Israk mikraj

Peristiwa Israk mikraj adalah sebuah cerita yang benar lagi sahih. Peristiwa yang menunjukkan bukti kenabian Nabi Muhammad saw. Ia dikuatkan dengan ayat al-Quran dan hadis sahih dalam darjat yang tertinggi. Tiada seorangpun Muslim yang mengingkari peristiwa itu kerana ia adalah ujian dalam menentukan pendirian umat Islam. Siapa yang tidak percaya, maka dia telah menjadi kafir.

Sebahagian orang ada mengatakan bahawa Israk disebut di dalam al-Quran, namun Mikraj hanya disebutkan dalam hadis. Maka penulisan ini akan berusaha menunjukkan bukti salah faham itu.

Apa yang lebih mendukacitakan apabila wujudnya para penceramah dan tukang cerita yang sengaja menambah-nambah cerita yang sebenarnya tidak ada di dalam kisah Israk Mikraj, sehingga mencacatkan kisah ini dari sudut akademik.

2. Istilah

Israk membawa maksud perjalanan Nabi saw di bumi dalam masa yang sangat singkat iaitu sebahagian dari satu malam sahaja dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidl Aqsa, Palestin. Manakala Mikraj pula ialah perjalanan dari alam dunia ke sidaratul muntaha (langit) kemudian kembali semula ke Masjidl Haram, Mekah.

Kedua-dua peristiwa ini berlaku dalam satu malam sahaja. Ia tidak berlaku dalam mimpi, tetapi ia berlaku dalam keadaan Nabi saw berjaga. Jika Nabi melakukan perjalanan dalam keadaan mimpi, maka ia bukanlah satu mukjizat yang pelik. Bahkan, para penentang Islam juga tidak akan ambil cakna dalam isu ini.

3. Ayat al-Quran berkaitan al-Israk dan al-Mikraj

1)      Surah Al-Isra’ : 1


"1. Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui."

Penjelasan : Ayat al-Quran ini menjadi bukti yang paling kukuh dalam menyatakan peristiwa Israk itu benar-benar berlaku dalam satu malam sahaja. Ia juga menjelaskan bahawa Israk ini adalah salah satu dari mukjizat Nabi Muhammad saw. Maka, mukjizat itu tidak menjadi mukjizat jika ia hanya berlaku dalam mimpi sahaja. Ia pasti berlaku ketika Nabi Muhammad saw sedar.

2)      Surah Al-Isra’ : 60


"60. dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya); dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah Kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau."

Penjelasan : Ayat ke 60 ini menjadi bukti bahawa kejadian Mikraj juga disebutkan di dalam al-Quran. Ia menjadi bukti yang menguatkan hadis-hadis yang saya akan kemukakan kemudian bahawa Nabi Muhammad saw diperlihatkan dengan pelbagai kejadian aneh yang menambahkan keimanan dalam peristiwa Mikraj. Hanya orang beriman sahaja yang akan percaya peristiwa ini, manakala golongan kafir dan munafik akan menunjukkan kekufuran yang jelas nyata.


4. Hadis sahih berkaitan Israk dan Mikraj

Saya tidak berhajat untuk menyebutkan kesemua hadis sahih berkaitan peristiwa Israk dan Mikraj, tetapi saya berikan hadis yang lengkap dan paling sahih tentang peristiwa ini.

1.       HR Muslim : 429. Kitab Iman, Bab Israk Rasul dan Kewajipan Solat.

Imam Muslim merekodkan: Syaiban bin Farruj menceritakan kepadaku daripada Hammad bin Salamah, daripada Sabit bin al-Bunani, daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah berkata:
Aku telah didatangi al-Buraq - Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut al-Buraq tersebut mencecah bumi.-

Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitul Maqdis. Lalu aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi. Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan solat sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah.

Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika itu aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan.

Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa ibnu Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya.

Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya. 

Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Ketika aku merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t, aku dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya.

Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada aku dengan mewajibkan solat lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala aku turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Aku menjawab: Solat lima puluh waktu. Nabi Musa a.s berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israil dan memberitahu mereka. 

Lalu aku kembali kepada Tuhanku dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan sehingga lima waktu solat.

Aku kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima waktu solat dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi. 

Aku tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap solat fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu solat fardu sama dengan lima puluh solat fardu.

Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya. 

Lalu aku turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya.”

Nota : Hadis yang mempunyai kandungan serupa direkodkan juga oleh al-Bukhari dalam bab Mikraj, no 3800.

Hadis Sahih yang berkaitan juga boleh di dapti dalam rekod berikut : Al-Bukhari: 3394, 3437, 4709, 5576, 5603. Muslim : 272. Ahmad: 512. 

2.      Muslim: 448. Kitab Iman, Bab Memperingati al-Masih Ibnu Maryam dan al-Masih ad-Dajjal

Aku telah merenung diriku di hijr Ismail, orang-orang Quraisy bertanya kepadaku mengenai perjalanan malamku (pada waktu isra’ dan mi’raj, pent). Mereka menanyakan beberapa perkara mengenai Baitul Maqdis yang belum aku ketahui dengan pasti sehingga aku pun merasakan kesusahan yang sama sekali belum pernah aku rasakan sebelumnya. Maka Allah pun mengangkatnya untukku agar aku dapat melihatnya. Dan tidaklah mereka menanyakan kepadaku melainkan aku pasti akan menjawabnya. 

Aku telah melihat diriku bersama sekumpulan para Nabi. Dan tiba-tiba aku diperlihatkan Nabi Musa yang sedang berdiri melaksanakan solat, ternyata dia adalah seorang lelaki yang kekar dan berambut keriting, seakan-akan orang bani Syanuah. Aku juga diperlihatkan Isa bin Maryam yang juga sedang berdiri melaksanakan sholat. Urwah bin Mas’ud As-Tsaqafi adalah manusia yang paling mirip dengannya. 

Telah diperlihatkan pula kepadaku Nabi Ibrahim yang juga sedang berdiri melaksanakan solat, orang yang paling mirip denganya adalah sahabat kalian ini; yakni diri baginda sendiri. 

Ketika waktu solat telah masuk, akupun mengimami mereka semua. Dan seusai melaksanakan solat, ada seseorang berkata, ‘Wahai Muhammad, ini adalah malaikat penjaga api neraka, berilah salam kepadanya! ‘ Maka akupun menoleh kepadanya, namun ia segera mendahuluiku memberi salam.

Penjelasan : Hadis ini menjelaskan bahawa kaum Quraisy bertanya Nabi saw berkenaan peristiwa Israk dan Mikraj. Lalu baginda dapat menceritakan dengan jelas kisah tersebut apabila Allah memberi kurniaan ingatan dengan diperlihatkan semula kejadian tersebut.

Hujah yang jelas yang telah saya sebutkan di atas menjadi bukti kewujudan peristiwa Israk dan Mikraj. Bahkan, sebagai umat Islam kita hendaklah mempercayainya dengan sebulat hati. Ia termasuk dalam mempercayai perkara-perkara ghaib yang disampaikan oleh Rasulullah saw. 

5. Cerita Palsu berkenaan Israk Mikraj 

Dalam kesempatan yang singkat ini, saya mengambil beberapa kisah yang sering diceritakan dan disebarkan ketika Israk dan Mikraj. Tetapi sandarannya sangat lemah, atau tiada sandaran langsung.
Saya jadikan kisah-kisah yang didapati dari sebaran internet sebagai panduan.

1.       Jibril Tidak boleh Menemani Rasulullah

“… Akhirnya Rasulullah Saw sampai di satu tempat yang tidak pernah seorang pun manusia sampai ke situ walaupun dia seorang Rasul dan Nabi. Kemudian Rasululah Saw melalui satu kawasan yang Malaikat pun tidak pernah sampai kesitu kecuali Jibril. Sampai di satu tempat Jibril meminta Rasulullah Saw bergerak ke hadapan dan dia berkata: "Kalau aku ke hadapan walaupun selangkah, aku akan terbakar”

Apabila dikaji, kisah ini terdapat dalam rekod Ibnu Hibban dalam kitab beliau “Al-Majruhin – pengkelasan orang yang ditolak dalam periwayatan.” (11/3).

Dalam hadis tersebut dinyatakan sanad hadis di atas: - Disampaikan kepadaku oleh Muhammad bin Badwisat an-Nasawi bahawa Humaid bin Zinjawaih meriwayatkan daripada Muhammad bin Abi Khidasy al-Musily, daripada Ali bin Qutaibah daripada Maisarah bin Abdur Rabbihi, daripada Umar bin Sulaiman ad-Dimasyqi, daripada Adh-Dhahaq, daripada Ibnu Abbas berkata…

Imam Ibnu Hibban berkata : Kecacatan hadis ini adalah Maisarah bin Abdur Rabbihi al-Farisi adalah salah seorang dari penduduk Dauraq. Dia sering menyampaikan hadis yang palsu yang disandar kepada orang yang kukuh periwayatannya. Dia memalsukan hadis lalu disandarkan kepada orang yang dipercayai bagi menggalakkan orang untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan. Tidak halal menulis hadis daripada melainkan untuk mengambil iktibar akan perbuatannya..

Imam al-Bukhari menyebutkan tentang Maisarah bin Abdur Rabbihi dalam kitabnya Ad-Dhu`afa as-Shoghir : Maisarah dihujani dengan label penipu. 

Imam an-Nasaie pula berkata dalam bukunya Ad-Dhu`afa’ al-Matrukin: Maisarah bin Abdur Rabbihi adalah seorang yang ditinggalkan penyampaian hadisnya. 

Justeru itu, kisah ini tertolak kerana wujud pemalsuan. Pemalsu kisah ini juga dengan sengaja memalsukan hadis dengan tujuan baik. Bahkan itulah kebiasaan manusia yang baik tapi tiada ilmu, maka mereka menghalalkan sesuatu yang diharamkan Allah untuk mencapai kebaikan yang lain.
Kisah-kisah yang dibawah ini juga berada di dalam hadis yang sama, cumanya saya pecahkan kerana mahu memecahkan kepada perbahasan yang boleh memberi manfaat. insyaAllah.

2.      Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada bulan 27 Rejab. 

Tarikh kalender Hijrah tidak pernah ada pada zaman Nabi saw. Ia dicipta selepas Nabi saw wafat. Bahkan, orang Arab dahulu sangat suka bermain-main dengan tarikh. Seandainya tarikh 27 Rejab itu adalah tarikh mulia bagi umat Islam, nescaya para sahabat telah mengingatinya. Apa yang penting dalam kisah Israk Mikraj ialah peristiwa yang berlaku, bukanlah waktu dan tarikhnya. 

Justeru itu tidak ada satu ketetapan bahawa peristiwa ini berlaku pada 27 Rejab. Para Ulama berbeza pendapat dalam menentukan waktu berlakunya Israk dan Mikraj. 

1.      Dikatakan peristiwa ini berlaku semasa tahun Allah SWT mengurniakan kenabian kepada Nabi saw. Ini adalah pendapat Imam at-Tobari.
2.      Dikatakan peristiwa ini berlaku selepas 5 tahun Nabi SAW diutuskan sebagai Rasul. Ini adalah pendapat yang dirajehkan oleh Imam an-Nawawi dan al-Qurtubi..
3.      Dikatakan peristiwa ini berlaku semasa malam ke dua puluh tujuh daripada bulan Rejab, iaitu dalam tahun ke sepuluh kenabian.
4.      Dikatakan berlaku pada 16 bulan sebelum tempoh berlakunya hijrah, iaitu dalam bulan Ramadan pada tahun ke dua belas kenabian.
5.      Dikatakan berlaku pada setahun dua bulan sebelum tempoh berlakunya hijrah, iaitu dalam bulan Muharram pada tahun ke 13 kenabian.
6.      Dikatakan juga berlaku pada setahun sebelum tempoh berlakunya hijrah, iaitu dalam bulan Rabi’ al-Awwal pada tahun ke sepuluh kenabian.

Tiga pendapat pertama di atas ditolak. Ini kerana, isteri Nabi SAW iaitu Saidatina Khadijah wafat dalam bulan Ramadan pada tahun ke sepuluh kenabian. Sedangkan para ulama hadis telah bersepakat bahawa ibadah solat difardukan selepas daripada kewafatan Saidatina Khadijah iaitu semasa peristiwa Israk dan Mikraj.


3.      Melihat dunia dalam keadan wanita yang telah tua.

Cerita ini direkodkan dalam Tafsir at-Tobari (6/15), al-Baihaqi dalam Dalail, dan Ibnu Kathir dalam Tafsirnya (5/3). Lalu mereka berkata, ‘Dalam sebahagian lafaznya terdapat sesuatu yang tidak dapat diterima dan pelik.

Hadis ini dikategori sebagai lemah yang tiada penguat kerana penyampai cerita ini iaitu Abdul Rahman bin Hashim adalah seorang yang tidak dikenali biografinya dalam dunia hadis. Ia tidak boleh dibuat hujah.

4.      Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. 

Menurut cerita, apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

Ibnu Kathir mengulas hadis ini dalam kitab Tafsirnya, “Hadis ini sebahagian lafaznya sangat ganjil dan pelik… seolah-olah ia adalah kumpulan hadis yang berbeza-beza atau berlaku ketika mimpi dan tidak berlaku ketika peristiwa Israk Mikraj.”

5.      Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. 

Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

Cerita ini tidak berlaku ketika peristiwa Mikraj, tetapi ia diperlihatkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad dalam mimpi baginda. Ia boleh dirujuk dalam Sahih al-Bukhari, no 7074.

Hadisnya berbunyi, “..semalam aku bermimpi bahawa telah datang kepadaku dua tetamu, mereka mengajakku keluar dan berkata kepadaku: “mari jalan”, lalu akupun pergi bersama keduanya, lalu kami mendatangi seorang yang lagi berbaring terlentang dan seorang lagi berdiri sambil memegang sebongkah batu, ia melemparkan batu tersebut ke kepalanya (orang yang berbaring terlentang tadi), batu tadi akhirnya memecahkan kepalanya…… Adapun orang yang memecahkan kepalanya dengan batu ialah orang yang mengambil al-Quran kemudian membuangnya lalu tidur dari mengerjakan solat yang wajib.”

6.      Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. 

Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

Cerita ini juga tidak berlaku ketika Mikraj, tetapi berlaku di dalam mimpi Nabi saw sepertimana yang direkod oleh al-Bukhari, no. 7074.

7.      Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. 

Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

-          Lihat penjelasan di bawah.


8.      Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. 

Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

Ibnu Kathir mengulas hadis ke 7 dan 8 ini dalam kitab Tafsirnya, “Hadis ini sebahagian lafaznya sangat ganjil dan pelik… seolah-olah ia adalah kumpulan hadis yang berbeza-za atau berlaku ketika mimpi dan tidak berlaku ketika peristiwa Israk Mikraj.”

Kata Adz-Dzahabi, “Hadis ini munkar (palsu) yang menyerupai cerita-cerita dari panglipulara. Ia diberitahu untuk disampaikan cerita (yang menarik), bukan untuk dijadikan hujah.”

9.      Melihat kaum bibirnya laksana unta.

Kisahnya berbunyi, Rasulullah SAW bersabda: Pada malam aku di-Israkkan oleh Allah, aku melihat kaum yang bibirnya laksana bibir unta. Dan sesungguhnya ada malaikat yang diserahi tugas menarik bibir mereka. Kemudian mulut mereka itu diisi dengan batu yang besar dan nanti akan keluar dari punggung mereka. Lalu aku (Muhammad) bertanya: “Wahai Jibril, siapakah itu?” Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan zalim.”

Cerita ini direkod dalam beberapa kitab tafsir. Malangnya ia adalah suatu hadis yang sangat lemah menurut penilaian Syeikh al-Albani sekalipun azab tersebut disebut dalam surah an-Nisa` ayat 10. Apa yang nyata adalah azab tersebut tidak dilihat oleh Rasulullah ketika Mikraj, tetapi ia adalah peringatan al-Quran yang sangat jelas.

  
 Pembohongan Atas Nama agama dengan ‘sengaja’

Apabila meneliti sebahagian hadis-hadis yang telah saya nyatakan di dalam penulisan ini, saya dapati ramai penceramah dan pendakwah suka menyebarkan sesuatu yang tidak dikaji kesahihannya terlebih dahulu. Akhirnya mereka menyebarkan penipuan demi penipuan atas nama Rasulullah saw.
Berhati-hatilah dengan sebarang kata-kata kita, kerana Nabi saw pernah mengingatkan, 

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
(HR al-Bukhari: 1291)

Apa yang terbaik buat kita ialah kita cuma berbicara pada perkara yang kita tahu kesahihannya sahaja. Manakala sesuatu yang menarik tetapi tidak diketahui kesahihannya sangatlah berbehaya untuk disebarkan. 

Dr. Muhammad Asri berkata, “Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak bersalah, sebab mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang memuatkan hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan, maka tidak patut dipersalahkan. Mereka lupa penyebar hadis palsu sama ada menerusi ucapan atau tulisan, dia dalam masa yang sama sebenarnya menipu orang lain apabila menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW tanpa bukti yang sah. Pendengar akan terpedaya lalu mengamalkan perkara yang dianggapnya daripada Nabi saw, sedang ia bukan seperti yang disangkakan.”

والله تعالى أعلم بالصواب


Isi Kandungan Kajian