Israk & Mikraj Dari Penjelasan Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri

Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri menyebutkan tentang Israk dan Mikraj di dalam bab yang khusus pada karya beliau "Ar-Rahiq al-Makhtum":

PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Ketika Nabi Muhammad sedang berada pada peringkat di mana dakwah baginda mulai merentas sebuah jalan antara seksaan dan kemenangan serta mula lahir menjadi bintang-bintang kecil yang berkelip-kelip di ufuk nan jauh, maka terjadilah peristiwa Israk dan Mikraj.

Waktu Terjadinya Israk Mikraj

Berkaitan pemastian waktu terjadinya Israk Mikraj, para ulama memiliki pendapat yang berbeza, antaranya:

  1. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada tahun ketika Allah memuliakan Rasulullah s.a.w. dengan kenabian[1]. Pendapat ini dipilih oleh Imam at-Tabari.
  2. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi setelah lima tahun Rasulullah s.a.w. diangkat menjadi nabi[2]. Pendapat ini dirajihkan oleh Imam an-Nawawi dan Imam al-Qurthubi.
  3. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada malam ke- 27 pada bulan Rejab tahun ke-10 kenabian.
  4. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada 16 bulan sebelum hijrah, tepatnya pada bulan Ramadhan tahun ke-12 kenabian.
  5. Ada yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada 1 tahun 2 bulan sebelum hijrah, tepatnya pada bulan Muharam tahun ke 13 kenabian.
  6. Ada pula yang mengatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada 1 tahun sebelum hijrah, tepatnya pada bulan Rabiul Awal tahun ke 13 kenabian.

Tiga pendapat yang teratas dibantah oleh fakta bahawa Khadijah meninggal dunia pada bulan Ramadhan tahun ke-10 kenabian, iaitu sebelum solat lima waktu diwajibkan. Di sini tidak ada perselisihan bahawa solat lima waktu diwajibkan pada malam Israk Mikraj.[3]

Manakala, tiga pendapat yang lain, saya belum menemui suatu bukti yang kuat untuk merajihkan salah satunya. Jika dilihat pada konteks Surah al-Israk, maka ia menunjukkan bahawa peristiwa Israk Mikraj terjadi pada masa yang sangat akhir.

Perincian Peristiwa Israk Mikraj

Para imam hadis meriwayatkan keterangan tentang peristiwa Israk Mikraj. Berikut kami sajikan riwayat tersebut secara ringkas.

Ibnu al-Qayyim berkata, “Rasulullah s.a.w. diisrakkan dengan jasad baginda, menurut pendapat yang sahih, bermula dari Masjidil Haram hingga Baitul Maqdis, dengan menunggang buraq dan ditemani oleh Jibril. Di sana baginda singgah sejenak dan baginda bersolat bersama para nabi dengan menjadi imam, sementara buraq diikat pada tali pintu masjid.

“Kemudian pada malam itu juga baginda dimikrajkan dari Baitul Maqdis sampai di langit dunia. Jibril meminta agar pintu langit dibukakan untuk Rasulullah s.a.w., maka pintu itu pun dibukakan untuk baginda. Di sana Rasulullah s.a.w. melihat Nabi Adam, ayah seluruh manusia. Rasulullah s.a.w. mengucapkan salam kepada Nabi Adam, lantas Nabi Adam pun menyambut baginda, membalas ucapan salam baginda serta membenarkan kenabian baginda. Di sana Allah memperlihatkan roh para syuhada kepada Nabi Muhammad dari sisi kanan baginda dan roh orang yang sengsara dari sisi kiri baginda.

“Seterusnya Rasulullah s.a.w. dimikrajkan lagi hingga sampai di langit kedua. Jibril meminta pintu langit dibukakan untuk Rasulullah s.a.w. seperti tadi. Di sana Rasulullah s.a.w. melihat Nabi Yahya bin Zakaria dan Nabi Isa bin Maryam. Baginda bertemu dengan kedua-duanya lalu mengucapkan salam kepada mereka berdua. Nabi Yahya dan Nabi Isa pun menyambut kedatangan baginda, membalas salam baginda dan membenarkan kenabian baginda.

“Selepas itu Rasulullah s.a.w. dimikrajkan sampai di langit ketiga. Di sana baginda melihat Nabi Yusuf. Sama seperti yang lainnya, Nabi Yusuf membalas ucapan salam Rasulullah s.a.w., menyambut bagindadan membenarkan kenabian baginda.

“Rasulullah s.a.w. dimikrajkan sampai di langit keempat. Di sana baginda melihat Nabi Idris. Sama seperti yang lainnya, Nabi Idris membalas ucapan salam Rasulullah s.a.w., menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda.

“Seterusnya Rasulullah s.a.w. dimikrajkan sampai di langit kelima. Di sana baginda melihat Nabi Harun bin Imran. Sama seperti yang lainnya, Nabi Harun membalas ucapan salam Rasulullah s.a.w., menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda.

“Selepas itu Rasulullah s.a.w. dimikrajkan sampai di langit keenam. Di sana baginda berjumpa dengan Nabi Musa bin Imran. Sama seperti yang lainnya, Nabi Musa membalas ucapan salam Rasulullah s.a.w., menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda. Ketika Rasulullah s.a.w. telah berlalu pergi, Nabi Musa menangis. Maka ada yang bertanya kepada Nabi Musa, ‘Apakah yang membuatmu menangis?’ Nabi Musa menjawab,

أَبْكِي لِأَنَّ غُلاَمًا بُعِثَ بَعْدِي يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِنْ أُمَّتِهِ أَكْثَرُ مِمَّنْ يَدْخُلُهَا مِنْ أُمَّتِي
‘Aku menangis kerana anak muda yang diutus selepasku itu jumlah umatnya yang masuk syurga lebih banyak berbanding jumlah umatku yang masuk syurga.’

“Selepas itu Rasulullah s.a.w. dimikrajkan hingga ke langit ketujuh. Di sana baginda berjumpa dengan Nabi Ibrahim. Sama seperti yang lainnya, Nabi Ibrahim membalas ucapan salam Rasulullah s.a.w., menyambut baginda dan membenarkan kenabian baginda.

“Setelahnya Rasulullah s.a.w. diangkat hingga sampai di Sidratul Muntaha lalu Baitul Makmur ditinggikan untuk baginda. Seterusnya baginda dimikrajkan lagi sehingga sampai di hadapan al-Jabbar Jalla Jalaluhu (Allah ). Baginda terus didekatkan kepada Allah sehingga jaraknya hanya tinggal sepanjang dua busur panah atau lebih dekat lagi. Kemudian Allah mewahyukan kepada hamba-Nya apa yang telah diwahyukan-Nya serta mewajibkan 50 kali solat kepadanya.

“Rasulullah s.a.w. pulang sehingga bertemu dengan Nabi Musa. Nabi Musa bertanya, ‘Apakah perintah Allah untukmu?’ Rasulullah s.a.w. menjawab, ‘Untuk melakukan solat 50 kali.’ Nabi Musa berkata, ‘Sesungguhnya umatmu tidak akan sanggup melakukannya. Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah keringanan daripada-Nya untuk umatmu.’ Rasulullah s.a.w. menoleh kepada Jibril, seolah-olah baginda meminta pendapat Jibril tentang hal itu. Jibril pun memberi isyarat seakan-akan dia berkata, ‘Ya, jika kamu mahu.’

“Maka Jibril naik semula bersama Rasulullah s.a.w. hingga sampai di hadapan al-Jabbar Tabaraka wa Taala (Allah) dan Dia masih di tempat-Nya( ini adalah lafaz yang dibawakan oleh Imam al-Bukhari pada beberapa riwayat). Jumlah solat itu dikurangkan sebanyak sepuluh kali.

“Kemudian Rasulullah s.a.w. turun sampai baginda bertemu lagi dengan Nabi Musa. Kepada Nabi Musa, baginda menyatakan apa yang terjadi. Nabi Musa pun berkata, ‘Kembalilah lagi kepada Tuhanmu. Mintalah lagi keringanan daripada-Nya.’ Kejadian Rasulullah s.a.w. bertemu Nabi Musa dan berhadapan dengan Allah ini terjadi berulang kali, sehingga Allah menetapkan bahawa solat yang diwajibkan hanya lima kali sehari.

“Sebenarnya Nabi Musa masih menyuruh Rasulullah s.a.w. untuk kembali meminta keringanan. Namun begitu, Rasulullah s.a.w. berkata,

قَدْ اسْتَحْيَيْتُ مِنْ رَبِّي وَلَكِنِّي أَرْضَى وَأُسَلِّمُ
‘Aku malu terhadap Tuhanku. Aku telah redha dan menerimanya.’

“Setelah beberapa saat ada seruan yang kedengaran,
أَمْضَيْتُ فَرِيضَتِي، وَخَفَّفْتُ عَنْ عِبَادِي
‘Telah Ku-tetapkan kewajipan daripada-Ku dan telah Ku-ringankan untuk hamba-Ku’.”[4]


Adakah Rasulullah s.a.w. Melihat Allah Dengan Mata Kasar?

Seterusnya Ibnu Qayyim menyebutkan perbezaan pendapat yang terjadi tentang hakikat Rasulullah s.a.w. melihat Allah. Di situ, beliau menyebutkan pernyataan Ibnu Taimiyah mengenai persoalan ini. Kesimpulan perbahasannya menerangkan pendapat bahawa Rasulullah s.a.w. melihat Allah dengan mata kasar merupakan pendapat yang sama sekali tidak berasas dan pendapat tersebut tidak pernah diucapkan oleh seorang sahabat pun. Sedangkan pernyataan Ibnu Abbas adalah Rasulullah s.a.w. melihat Allah secara mutlak dan sekaligus dengan hati nurani dan sesungguhnya penglihatan mutlak tidak menafikan penglihatan dengan hati.

Jibril Mendekati Baginda

Kemudian Ibnu Qayyim berkata, “Adapun firman Allah Taala dalam Surah an-Najm ayat 8,

‘Kemudian dia mendekat lalu bertambah dekat lagi,’
bukanlah mendekat dalam erti kata seperti yang terdapat pada kisah Israk Mikraj. Mendekat dalam ayat Surah an-Najm ini adalah mendekatnya Jibril yang kemudian bertambah dekat. Inilah yang dikatakan oleh Aisyah dan Ibnu Mas’ud. Konteks ayatnya sendiri juga menerangkan sedemikian.

“Manakala mendekat dan bertambah dekat yang terdapat dalam hadis Israk Mikraj, maka itu secara jelas menerangkan sebagai mendekat dan bertambah dekatnya Allah Taala.

“Dengan demikian, tidak ada percanggahan dalam ayat Surah an-Najm. Bahkan, ayat tersebut menerangkan bahawa Nabi Muhammad melihat Jibril pada kali yang lain di Sidratul Muntaha. Ya, benar, itu Jibril. Nabi Muhammad melihatnya dalam kewujudan yang asal sebanyak dua kali iaitu yang pertama ketika di bumi dan yang kedua ketika di Sidratul Muntaha. Wallahu a’lam.”[5]

Beberapa Pemandangan Yang Menakjubkan Sepanjang Israk Mikraj

Peristiwa pembelahan dada Rasulullah s.a.w. juga terjadi pada kali ini. Dalam perjalanan Israk Mikraj ini, Rasulullah s.a.w. menyaksikan banyak hal.

·         Baginda ditawarkan susu dan arak, maka baginda memilih susu. Sehinggalah Malaikat Jibril berkata kepada baginda, “Engkau telah diberi petunjuk untuk memilih sesuai dengan fitrah,” atau, “Engkau telah bertindak benar sesuai dengan fitrah. Sebabnya, jika engkau mengambil arak, pasti umatmu akan tersesat.”

·         Rasulullah s.a.w. melihat empat batang sungai di syurga, yang dua batangnya kelihatan, sedangkan dua batang lagi tidak kelihatan. Dua batang sungai yang kelihatan ialah Sungai Nil dan Sungai Furat. Manakala dua batang sungai yang tidak kelihatan ialah diua batang sungai di Syurga. Boleh jadi dilihat Sungai Nil dan Furat menjadi petunjuk bahawa risalah yang baginda bawa akan berkembang di lembah-lembah yang subur di sepanjang Nil dan Furat, WallahuA`lam.

·         Rasulullah s.a.w. melihat Malik, malaikat penjaga neraka. Dia tidak pernah ketawa. Sedikit pun tidak ada keceriaan dan kehangatan di raut wajahnya. Kemudian Rasulullah s.a.w. melihat syurga dan neraka.

·         Rasulullah s.a.w. melihat seksaan yang diterima oleh pemakan harta anak yatim secara zalim. Bibir mereka seperti bibir unta. Ke dalam mulut mereka dilemparkan potongan api neraka secara paksa, lalu api itu keluar lagi daripada dubur mereka.

·         Rasulullah s.a.w. melihat seksaan yang diterima oleh pemakan riba. Mereka mempunyai perut yang besar dan disebabkan itu mereka tidak dapat berpindah tempat. Kemudian seluruh pengikut Firaun berjalan di atas mereka dengan menginjak-injak mereka tatkala para pengikut Firaun itu diheret ke neraka.

·         Rasulullah s.a.w. melihat seksaan yang diterima oleh penzina. Sebelah tangan mereka memegang daging yang tebal dan baik, sementara tangan yang satu lagi memegang daging nipis dan busuk. Namun begitu, mereka makan daging yang nipis dan busuk, sementara daging yang tebal dan baik mereka tinggalkan.

·         Rasulullah s.a.w. melihat seksaan yang diterima oleh wanita-wanita yang menisbahkan anak-anak kepada lelaki yang bukan ayahnya. Rasulullah s.a.w. melihat payudara mereka digantungkan.

·         Dalam masa pemergian dan kepulangannya, Rasulullah s.a.w. melihat serombongan kafilah Mekah. Baginda sempat menerangkan arah jalan kepada unta mereka yang terpisah daripada rombongan. Baginda juga meminum air mereka daripada bekas yang tertutup ketika mereka sedang tidur, kemudian baginda meninggalkan bekas itu tetap tertutup. Ini menjadi bukti pada keesokan harinya yang membenarkan pengakuan baginda bahawa baginda mengalami Israk Mikraj.[6]

Ibnu Qayyim berkata, “Ketika Rasulullah s.a.w. kembali kepada kaumnya pada pagi hari, baginda memberitahu kepada mereka tanda-tanda kebesaran Allah yang Allah perlihatkan kepadanya. Ternyata segala pendustaan, penganiayaan dan kebengisan mereka terhadap baginda semakin keras. Mereka meminta baginda untuk menerangkan ciri-ciri Baitul Maqdis kepada mereka. Maka Allah menampakkan Baitul Maqdis dengan sangat jelas pada benak Rasulullah s.a.w., Lalu baginda memperincikannya. Rasulullah s.a.w. memberitahu ciri-ciri Baitul Maqdis kepada mereka, sehingga mereka tidak dapat membantahnya sedikit pun. Baginda memberitahu kepada mereka tentang kafilah mereka yang baginda lihat ketika pergi dan pulang. Baginda juga memberitahu kepada mereka tentang waktu kedatangan kafilah tersebut serta tentang untanya yang terpisah daripada kafilah. Memang faktanya sama dengan apa yang baginda katakan. Ternyata, semakin bertambah penolakan dan kekafiran orang zalim tersebut.”[7]

Dikatakan: Abu Bakar digelar as-Siddiq kerana dia mempercayai kebenaran peristiwa Israk Mikraj ketika semua orang menganggapnya sebagai berita bohong.[8]

Hikmah Di Sebalik Israk Mikraj
Dalil paling ringkas sekaligus paling kuat yang berisikan alasan wujudnya Israk Mikraj adalah firman Allah Taala,

“Supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda pemerintahan Kami,” (Al-Israk: 1).

Inilah sunatullah yang berlaku kepada para nabi, sebagaimana firman Allah,

“Dan seperti itulah kami memperlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda pemerintahan Kami di langit dan bumi supaya dia menjadi sebahagian daripada orang yang yakin.” (Al-An‘am: 6).

Kemudian, firman Allah kepada Nabi Musa,

“Supaya Kami perlihatkan kepadamu sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami.” (  Taha: 23)

Kehendak Allah untuk menerangkan tanda-tanda kebesaran-Nya kepada para nabi-Nya itu mempunyai sebuah maksud luhur, iaitu, “Supaya dia menjadi sebahagian daripada orang yang yakin.”

Setelah pengetahuan para nabi dihubungkan kepada penglihatan mereka terhadap tanda-tanda pemerintahan Allah, mereka dapat melihat dengan pandangan yang penuh yakin sesuatu yang tiada bandingannya, walaupun khabar-khabar yang disampaikan tidak sama dengan melihat sendiri. Oleh itu, mereka mampu memikul suatu amanah di jalan Allah yang tidak mampu dipikul oleh manusia lain. Dengan itu juga, seluruh kekuatan duniawi serta-merta menjadi seperti sayap nyamuk bagi mereka, sehingga mereka sama sekali tidak berasa sakit ketika kekuatan-kekuatan itu mendera mereka dengan pelbagai ujian dan seksaan.

Pelbagai hikmah dan rahsia yang terdapat pada setiap bahagian perjalanan Israk Mikraj merupakan isi perbahasan buku-buku yang mengkaji tentang rahsia syariat. Ada hakikat-hakikat sederhana tetapi sarat dengan makna yang terpancar daripada perjalanan yang penuh berkat ini dan kemudian hakikat-hakikat itu meluncur deras membasahi taman-taman sirah Nabi Muhammad (semoga selawat dan salam penghormatan yang layak dilimpahkan kepada baginda) di mana saya berasa perlu mencatatkan sebahagian daripadanya secara ringkas.

·         Pembaca dapat melihat dalam Surah al-Israk bahawa Allah menyebutkan peristiwa Israk hanya pada satu ayat. Selepas itu Allah lebih banyak menyatakan tentang kelancangan dan kejahatan Yahudi, yang disudahi dengan ayat bahawa al-Quran membimbing manusia ke jalan yang lebih lurus. Pembaca mungkin menyangka bahawa antara ayat pertama Surah al-Israk yang menyentuh tentang peristiwa Israk tidak ada hubungannya dengan ayat-ayat selepasnya.

·         Padahal sebenarnya, dengan urutan penuturan yang seperti itu, Allah memberi isyarat bahawa peristiwa Israk yang berlaku di Baitul Maqdis itu merupakan petanda bahawa Yahudi akan diturunkan kepimpinannya kepada umat manusia. Itu terjadi disebabkan oleh pelbagai tindakan kejahatan yang mereka lakukan yang tidak meninggalkan satu kesempatan pun bagi mereka untuk mempertahankan kedudukan tersebut. Kemudian, secara jelas Allah akan memindahkan kedudukan kepimpinan tersebut kepada rasul-Nya. Itu bererti Allah menghimpunkan dua markas dakwah keturunan Nabi Ibrahim (Mekah dan Baitul Maqdis) sekaligus kepada Rasulullah s.a.w.

·         Masa pergantian kepimpinan rohani daripada satu umat kepada umat lain itu akhirnya datang. Maka bergeserlah kepimpinan tersebut daripada suatu umat yang sejarah kehidupannya dipenuhi dengan pelanggaran, pengkhianatan, perbuatan dosa dan permusuhan kepada umat yang kehidupannya dipenuhi dengan kebajikan dan kebaikan. Rasul umat yang baik itu sentiasa menerima wahyu al-Quran yang memberi petunjuk kepada jalan yang lebih lurus.

·         Persoalannya, bagaimanakah proses pergantian kepimpinan ini berlaku, padahal Rasulullah s.a.w. hanya berpusing di pergunungan Mekah kerana diburu oleh manusia? Pertanyaan ini menyingkap penutup sebuah hakikat yang lain, iaitu bahawa peringkat dakwah Islam di Mekah hampir sampai pada titik akhir dan kesempurnaannya, lalu akan bermula peringkat lain yang perjalanannya berbeza dengan yang pertama.
·         Oleh itu, kita melihat beberapa ayat dalam Surah al-Israk berisikan peringatan yang tegas dan ancaman yang keras kepada orang Musyrik. Antaranya,

“Apabila Kami hendak membinasakan suatu negeri, Kami perintahkan orang yang hidup mewah di dalamnya supaya mentaati Kami. Tetapi, mereka berbuat kefasikan di dalamnya, sehingga telah selayaknya perkataan (ketetapan Kami) berlaku atas mereka. Maka Kami hancurkan negeri itu dengan sehancur-hancurnya.” (Al-Israk’: 16). “Sudah berapa banyak kaum yang Kami binasakan semenjak zaman Nuh. Dan Tuhanmu telah cukup mengetahui dan melihat dosa-dosa yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya.” (Al-Israk’: 17)

·         Selain ayat-ayat tersebut, difirmankan juga ayat-ayat lain dalam Surah al-Israk yang menjelaskan asas sebuah kemodenan kepada umat Islam. Atas asas itulah umat Islam yang Islamik dibangunkan. Ayat-ayat itu bertutur seolah-olah umat Islam telah memijakkan kakinya di seluruh penjuru bumi, mengatur hajat hidup semua manusia di pelbagai tempat serta membentuk suatu ciri kesatuan yang dipegang oleh seluruh anggota masyarakat.

·         Oleh itu, peristiwa Israk mengandung isyarat bahawa Rasulullah s.a.w. akan menemui tempat berlindung dan tempat yang selamat untuk mengukuhkan urusannya (dakwahnya) di sana, di mana tempat itu akan menjadi markas untuk mengembangkan dakwah Islam ke seluruh penjuru dunia.Itulah salah satu rahsia daripada perjalanan yang penuh berkat tersebut. Oleh sebab rahsia tersebut memiliki kaitan dengan kajian kita, maka saya sengaja menunjukkannya di sini.

Atas dasar hikmah tersebut dan hikmah-hikmah yang lain, saya berpendapat bahawa peristiwa Israk terjadi sebelum Baiat Aqabah yang pertama[9] atau terjadi antara dua baiat Aqabah[10]. Wallahu a’lam.



[1] Rujuk semula pada bab 7: “Dalam Naungan Kenabian dan Kerasulan”. Syeikh menyebutkan: “Dengan mengamati dan menganalisis pelbagai bukti dan dalil, kita boleh memastikan bahawa peristiwa itu terjadi pada hari Isnin, tepatnya pada malam ke-21 bulan Ramadhan, bertepatan dengan tarikh 10 Ogos 610 M. Umur Nabi Muhammad ketika itu tepat 40 tahun 6 bulan 12 hari berdasarkan perkiraan bulan. Sedangkan, jika memakai kiraan matahari, maka umur baginda waktu itu ialah 39 tahun 3 bulan 22 hari.”

Kemudian, pada bahagian nota kaki, asy-Syeikh mengulas kenyataannya di atas: “Para sejarawan berbeza pendapat berkaitan pada bulan apa Allah memuliakan Nabi Muhammad dengan kenabian dan menurunkan wahyu pertama. Sebahagian mereka berpendapat peristiwa itu terjadi pada bulan Rabiul Awal, sementara sebahagian lain menyatakan ia terjadi pada bulan Ramadhan. Ada pula yang menyebutkan pada bulan Rejab. Lihat Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 75.


Saya merajihkan pendapat yang kedua, iaitu terjadi pada bulan Ramadhan. Dasarnya adalah firman Allah Taala, “Bulan Ramadhan, yang padanya diturunkan al-Quran.” (Al-Baqarah: 185) dan“Sesungguhnya Kami menurunkannya pada malam al-qadar.” (Al-Qadar: 1). Telah maklum pula bahawa malam al-Qadar terdapat pada bulan Ramadhan. Inilah yang dimaksudkan oleh firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam yang penuh berkah. Dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi peringatan.” ( ad-Dukhan: 3). Kesimpulan bahawa “malam yang penuh berkah” ini terjadi pada bulan Ramadhan diambil kerana Rasulullah berdiam diri di Gua Hira sepanjang bulan Ramadhan dan bahawa turunnya Jibril pertama kali kepada Nabi Muhammad dengan membawa wahyu terjadi pada bulan Ramadhan.

Seterusnya para pengkaji masih berbeza pendapat lagi dalam menetapkan hari pada bulan Ramadhan tatkala pertama kali wahyu diturunkan. Ada yang berpendapat pada hari ke-7 bulan Ramadhan. Ada yang mengatakan pada hari ke-17. Ada juga yang mengatakan pada hari ke-18. Lihat Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 75 dan Muhammad Sulaiman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-‘Alamin, jil I, hlm. 49. Dalam Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah, jil I, hlm. 69, al-Khudhari menekankan bahawa peristiwa itu terjadi pada hari ke-17.

Saya berpendapat peristiwa itu terjadi pada hari ke-21 meskipun tidak ada ulama yang mengatakan demikian. Ini kerana para pakar sejarah (majoriti atau bahkan seluruhnya) bersepakat bahawa pengutusan Nabi Muhammad sebagai rasul terjadi pada hari Isnin. Mereka menguatkannya dengan riwayat hadis daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah pernah ditanya tentang puasa pada hari Isnin, maka baginda menjawab, “Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itu diturunkan wahyu kepadaku.” Di tempat lain diriwayatkan dengan lafaz, “Itu adalah hari aku dilahirkan dan hari aku diutus atau diturunkan wahyu kepadaku.” Lihat Sahih Muslim, jil I, hlm. 368; Musnad Ahmad, jil V, hlm. 297; Sunan al-Baihaqi, jil IV, hlm. 286, 300 dan Mustadrak al-Hakim, jil II, hlm. 602.

Hari Isnin bulan Ramadhan pada tahun tersebut terjadi pada hari ke-7, ke-14, ke-21 dan ke-28. Sementara riwayat-riwayat sahih menunjukkan bahawa Lailatul Qadar terjadi pada malam-malam ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Jatuhnya Lailatul Qadar untuk setiap tahun selalu berganti-ganti antara malam-malam ganjil tersebut.

Dengan demikian, apabila kita mengaitkan antara firman Allah, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya pada malam yang penuh berkah,” dengan riwayat Abu Qatadah bahawa pengutusan Nabi Muhammad sebagai rasul terjadi pada hari Isnin ditambah lagi dengan hitungan tarikh secara ilmiah pada hari Isnin bulan Ramadhan yang tahun itu jatuh pada tarikh apa saja, maka kita boleh menarik kesimpulan bahawa diutusnya Nabi Muhammad sebagai rasul terjadi pada malam ke-21 bulan Ramadhan.”

[2] Lebih kurang tahun 615M.
[3]Lihat pendapat-pendapat tersebut dalam Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 49; Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtashar Sirah al-Rasul, hlm. 148-149; Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-‘Alamin, jil I, hlm. 76 dan Syah Akbar Khan Najib Abady, Tarikh Islam, jil I, hlm. 124.
[4]Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 47-48.
[5]Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 47-48. Lihat juga Sahih al-Bukhari, jil I, hlm. 50, 455, 456, 470, 471, 481, 548, 549, 550 dan jil II, hlm. 684; juga Sahih Muslim, jil I, hlm. 91-96.
[6]Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 47-48. Lihat juga Sahih al-Bukhari, jil I, hlm. 50, 455, 456, 470, 471, 481, 548, 549, 550 dan jil II, hlm. 684; juga Sahih Muslim, jil I, hlm. 91-96. Lihat juga Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 397 dan 402-406.
[7]Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil I, hlm. 48. Lihat juga Sahih al-Bukhari, jil II, hlm. 684; Sahih Muslim, jil I, hlm. 96 dan Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 402-403.
[8] Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 399.
[9] Syeikh menyebutkan di dalam bab 18: “Baiat Aqabah Yang Pertama” : “iaitu musim haji tahun ke 12 kenabian yang bertepatan dengan bulan Julai tahun 621 M, 12 orang dari Yathrib datang ke Mekah.”
[10] Baiat Aqabah kedua berlaku seperti tarikh yang dinyatakan penulis di dalam bab Baiah Aqabah kedua: “Pada musim haji tahun ke 13 kenabian, yang bertepatan dengan bulan Jun tahun 622 M”.

No comments:

Post a Comment