ads 728x90 B

Bab 6: Keistimewaan Sirah Rasulullah SAW

Tidak dapat diragukan lagi bahawa sirah Rasulullah merupakan sebuah sirah/sejarah seorang nabi malahan sejarah seorang manusia yang paling hebat sekali . Belum terjadi dimana-mana sejarah kehidupan seorang manusia hebat dimuka bumi ini yang mempunyai sejarah yang cukup terperinci sehingga mampu memberi panduan kepada semua golongan manusia, tanpa mengira usia dan keadaan.
Sirah Baginda merupakan sirah yang menenangkan jiwa, menjelaskan pemikiran dan padat dengan sejarah sehinggakan ulama` dan pendakwah menjadikan sirahnya sebagai jalan penyampaian dalam mengajak manusia kearah jalan mengenali dan beribadah kepada Allah S.W.T kerana mereka meyakini dan cukup terbukti bahawa sirah Rasulullah mampu membuka hati-hati yang tertutup daripada hidayah Allah, menjadi modul pembaikan dalam usaha-usaha pembaikan masyarakat dan merupakan kunci kejayaan dakwah .
Dalam perbahasan pertama ini , kita akan membincangkan 5 keistimewaan Sirah Rasulullah S.A.W .
Keistimewaan Pertama : sejarah yang paling tepat dalam sejarah Rasul dan orang agama yang lain
Sejarah Rasulullah merupakan sebuah sejarah yang paling tepat dan paling sahih dalam sejarah para nabi dan rasul yang diutus oleh Allah , malahan sejarah para orang agama yang lain juga tidak dapat menandingi sejarah Rasulullah S.A.W sedikit pun.
Sejarah Rasulullah telah sampai kepada kita dengan cara yang paling tepat dan bertepatan dengan hukum pengambilan ilmu – kita akan membincangkan perkara ini dalam tajuk seterusnya – sehinggalah kita pasti tidak merasa keraguan akan kebenaran sejarah Baginda.
Sirah Nabi Musa A.s
Apabila kita hayati sejarah nabi-nabi yang lain pula, kita akan dapati banyak masalah yang akan timbul dan banyak pula keraguan yang akan datang . Dalam sejarah Nabi Musa A.S , kita dapati sejarahnya bercampur aduk setelah dicampur tolak oleh Yahudi Laknatullah . Malahan kita tidak mampu untuk menjadikan Taurat yang ada pada masa sekarang sebagai rujukan sejarah Nabi Musa A.S sehinggakan sarjana barat sendiri merasa ragu-ragu dengan sejarah yang ditulis didalam Taurat bahkan mereka mengatakan ada sesetengah cerita-cerita yang dibawa tidak pernah berlaku pada zaman Nabi Musa A.S.
Keraguan dalam sejarah Nabi Musa AS adalah disebabkan penulisan sejarahnya ditulis selepas kewafatan Nabi Musa malahan masa yang diambil bukanlah sekejap bahkan memakan masa yang terlalu lama, sehinggakan penulis sejarah tersebut pun tidak dikenali siapakah dia. Ini menjadikan sejarahnya tidak diambil oleh ulama`-ulama` Islam kecuali sejarahnya yang telah termaktub dalam Al-Quran. oleh itu, tidak perlulah kita bertegang urat dengan masalah cerita-cerita israiliyyat yang sudah kita tahu cerita-cerita ini mempunyai 1001 keraguan kerana ia datang dari sumber yang lansung tidak boleh dipercayai.
Sirah Al-Masih A.S
Bagitu juga yang berlaku dalam sejarah Al-Masih Isa A.s , Injil-Injil yang ada dimuka bumi ini tidak mampu menjelaskan sejarah al-Masih dengan berlandaskan hukum pengambilan ilmu yang tepat dan benar. telah diketahui dimana-mana pun bahawa injil ini ditulis oleh paderi-paderi Kristian 100 tahun selepas kewafatan Al-Masih . malahan pada masa ini kita akan dapati beratus ratus injil yang ditulis beserta sejarah-sejarah yang saling bertentangan tambahan pula, Penulis-penulis ini tidak menepati hukum pengambilan ilmu kerana periwayatan yang dilakukan dalam injil adalah periwayatan yang tidak sah, penulis atau guru penulis ( perawi ) tidak pernah berjumpa dengan Al-Masih. bahkan, nama penulis dan pada tahun bila penulis itu hidup masih menjadi perselisihan para sarjana barat . Perkara sebegini dapat kita bayangkan seolah-olah kita bercakap tentang satu perkara dan cicit kita yang tidak pernah mendengar daripada kita mahupun datuknya,atau bapanya mengatakan bahawa kita pernah berkata sesuatu, adakah perkara ini boleh terjadi??
Sirah Orang agama
Ramai kita mengenali Agama Buddha yang diasaskan oleh Amitabh Buddha dan juga confusius namun tidak seorang pun dikalangan kita yang mengetahui secara terperinci sejarah orang agama ini kecuali sedikit. bagaimanakah kita mahu memperbanyakkan pengetahuan kita berkenaan orang agama ini? mudah sahaja, kita hanya perlu bertanya kepada bomoh-bomoh , mereka akan memberitahu kita apa yang mereka nampak dalam mimpi-mimpi dan ilham mereka yang penuh dengan khurafat dan penyelewengan. oleh sebab itu kita akan dapati , lain orang, lain ceritanya , lain bomoh lain khurafat nya… pengambilan ilmu sebegini adalah bercanggah dari hukum pengambilan ilmu.
oleh itu kita patut merasa bangga dan mulia kerana sejarah Rasulullah dipelihara daripada penyelewengan-penyelewengan yang boleh menyebabkan sejarah baginda dikotori.
Keistimewaan kedua : Sejarah yang paling jelas!
Titipan sejarah Rasulullah SAW merupakan titipan sejarah yang paling jelas dalam setiap peringkat kehidupan Baginda. kita semua maklum akan kejelasan tersebut kerana kita mengetahui sirah Baginda Rasul sejak perkahwinan Ayahanda dan Ibonda Baginda sehinggalah kewafatan Baginda Rasulullah. Malahan kita juga mengetahui banyak cerita kelahiran Baginda ,kehidupan kanak-kanak dan waktu remaja , kedudukannya sebelum diangkat menjadi Rasul, perjalanan Rasulullah ke Luar Makkah , sehinggalah cerita-cerita kebangkitannya sebagai Rasul yang Mulia, kemudian dari itu kita dapat menggetahui secara terperinci kehidupan Baginda RAsulullah saban tahun, sememangnya Sejarah Rasulullah sejelas terangnya matahari sehingga Sarjana Barat telah menukilkan :
Sesungguhnya Muhammad SAW adalah seorang individu yang dilahirkan dalam cerahan terangnya matahari
ini menunjukkan bahawa, kejelasan sirah Rasulullah tidak dapat ditandingi oleh Sirah Rasul-rasul sebelum Baginda.
Sirah Nabi Musa AS
Dalam Sirah Nabi Musa AS , kita tidak akan dapat mengetahui lansung apa yang berlaku pada kehidupan Baginda AS ketika kanak-kanak dan remajanya, begitu juga hal-ehwal Baginda sebelum dilantik menjadi Rasul. Malahan, selepas menjadi Rasul juga, kita hanya mengetahui serba sedikit berkenaan kehidupan Baginda tanpa kita mendapat gambaran yang jelas tentang peribadi Baginda.
Sirah NAbi Isa Al-Masih AS.
Begitu pula yang berlaku dalamm sirah Al-Masih AS, kita tidak mengetahui kehidupan Al-Masih AS ketika kecilnya melainkan apa yang disebut-sebutkan oleh Bible yang wujud kini, kononnya Al-Masih dimasukkan kedalam Haikal Yahud ( Kuil Yahudi ), dan menjadi pemandu bicara pendita-pendita mereka. Hanya ini yang disebutkan dalam sirah Al-Masih kemudian kita sudah tidak mengetahui apa-apa lagi cerita kanak-kanak Baginda. Cerita-cerita Baginda selepas menjadi nabi juga kita tidak tahu melainkan sedikit cerita berkenaan dakwah Baginda Al-Masih AS. Begitu juga sedikit cerita berkenaan cara kehidupan baginda bahkan kita disuruh pula oleh Bible untuk merahsiakan kesamaran-kesamaran yang banyak berlaku
Dalam sirah Baginda Rasulullah SAW, kita mengetahui secara jelas berkenaan baginda dalam banyak aspek kehidupan dan peribadi Baginda, kita juga mengetahui secara jelas bagaimana cara makannya, bangunnya,duduknya, pakaiannya, rupa parasnya, keadaan kehidupannya, pemikirannya, pergaulan dengan keluarganya, ibadahnya, solatnya, pergaulan dengan sahabat-sahabatnya, bahkan telah sampai kepada kita kejelasan bilangan uban yang tumbuh di rambut dan janggut Rasullullah SAW.
Keistimewaan Ketiga : Sirah yang menceritakan Kelayakan RAsulullah SAW dijadikan Contoh Tauladan
Sesungguhnya sirah Rasulullah SAW menceritakan sebuah sejarah manusia yang dimuliakan Allah SWT dengan risalah dakwah. Malahan sirah Baginda tidak lari dari hakikat Baginda seorang Manusia, kehidupannya tidak dicemari dengan pembohongan-pembohongan , Baginda tidak menambah atau mengurangi dalam menyampaikan erti Uluhiyyah – hakikat mentauhidkan Allah dalam peribadatan -
Apa yang kita ketahui dari perjalanan sirah yang lain seperti sirah Jesus yang diceritakan oleh paderi-paderi, sirah Gautama Buddha/Siddhārtha Gautama yang diceritakan oleh pengikut-pengikutnya, dan sejarah berhala-berhala yang diceritakan oleh penyembah-penyembahnya jelas menunjukkan perbezaan mereka dengan sirah Rasulullah SAW. sirah-sirah mereka jauh dari hakikat kemanusiaan dan kemasyarakatan bagi pengikut-pengikut mereka. Malahan, Sejarah Jesus dan Buddha langsung tidak dapat menjadi contoh ikutan para pengikut mereka dalam peribadi mahupun masyarakat .
Akan tetapi, begitu menakjubkan apabila kita menghayati sirah Baginda Rasulullah SAW, Sirahnya akan menunjukkan bukti bahawa baginda adalah Seorang manusia yang boleh menjadi contoh tauladan bagi siapa yang mahukan kehidupan yang penuh kemuliaan pada diri sendiri, keluarga dan masyarakat sekitar. Benarlah penyataan Allah SWT :
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
Keistimewaan keempat : sirahnya yang mencakupi semua aspek kemanusiaan
sesungguhnya sirah Rasulullah merupakan sebuah sirah yang terlalu sempurna sehingga mencakupi semua aspek kemanusiaan seorang manusia, dipermulaan sirahnya diceritakan bahawa Baginda merupakan seorang pemuda yang mempunyai peribadi yang amanah dan lurus sebelum dia dimuliakan dengan anugerah kerasulan. kemudian diceritakan pula kepada kita selepas baginda menerima anugerah kerasulan, Baginda merupakan seorang pendakwah yang berungguh-sungguh menggunakan apa jua jalan dalam menyampaikan dakwah Baginda yang suci, bahkan Baginda sanggup menggorbankan segalanya untuk menyampaikan dakwah. Baginda merupakan Pemimpin negara yang terbaik!, memakmurkan negaranya keArah etika perundangan yang betul dan memperbaiki kelemahan kerajaan Baginda, disertakan juga keikhlasan dan kejujuran sehingga negaranya menjadi negara yang maju dan berjaya.
Kita juga diceritakan Bagaimana keadaan Rasulullah apabila dia menjadi suami dan bapa kepada keluarganya, baiknya hubungan mereka, dan perbezaan yang jelas dalam pembahagian hak-hak dan kewajipan setiap suami, isteri, dan anak-anak. Baginda juga merupakan seorang guru mithali yang membimbing sahabat-sahabatnya dengan ruh yang bersatu, antara dirinya dan diri mereka, sehinggakan Baginda amat menyayangi mereka dan memperhatikan mereka dari sekecil-kecil perbuatan sehingga sebesar-besar perbuatan.
Baginda juga merupakan Rasul yang amanah dan jujur serata beriltizam dalm medan dakwah dan penuh beradab. Oleh sebab itu, sahabat-sahabat Baginda menyanyangi Baginda sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri, bahkan melebihi diri mereka dan keluarga mereka, Baginda juga merupakan seorang panglima perang yang gagah berani, ketua yang cerdik, ahli politik yang berjaya, penjual yang amanah dan pencerita yang benar.
Pendek Kata : sesungguhnya sirah RAsulullah merupakan sirah yang sempurna dalam setiap aspek kehidupan manusia dalam kehidupan bermasyarakat. Baginda menjadi contoh terbaik bagi semua pendakwah, pemimpin, bapa, suami, pecinta kebenaran, guru , ahli politik, pemimpin negara dan lain-lain lagi.
kita tidak akan terjumpa sebuah sirah yang sesempurna sirah Baginda RAsulullah SAW, malahan yang hampir-hampir dengannya pun tidak mungkin walaupun sejarah itu adalah sejarah nabi-nabi yang lepas, pengasas-pengasas agama, ahli falsafah semasa mahupun yang telah meninggalkan kita.
kita amat mengetahui bahawa Nabi Musa AS merupakan seorang nabi yang menunjukkan kepada ummatnya cara beribadah yang betul, dan menjelaskan kepada mereka bagaimana cara untuk memulakan pembersihan diri mereka kepada Allah SWT, namun kita tidak akan dapat menemui contoh Baginda sebagai seorang pahlawan di medan perang, atau guru dan ahli politik, ataupun pemimpin mana-mana negeri, ataupun seorang bapa dan suami mithali.
Dalam sirah junjungan mulia Al-Masih pula, kita mengetahui bahawa Baginda merupakan seorang nabi dan rasul yang zuhud yang meninggalkan dunia untuk akhirat dan dia tidak mempunyai duit, rumah mahupun harta akan tetapi dalam sirah Baginda, Baginda bukanlah merupakan Ahli mana-mana peperangan dan bukan juga pemimpin mana-mana negara, dan bukan juga seorang bapa dan suami kerana baginda tidak pernah berkahwin.
Begitu juga yang berlaku dalam sejarah-sejarah buddha , Confucius, aristotle , Aflatun, Nablion, dan orang sejarah yang lain. mereka tidak mampu manjadi Qudwah dan ikutan yang terbaik kepada masyarakat , jika ada pun hanyalah sebahagian aspek kehidupan sahaja, sedikit pun tidak dapat menandingi sirah yang teragung dan paling tepat, iaitu sirah Muhammad Rasulullah SAW.
Keistimewaan ke-lima : Sirahnya sendiri menunjukkan bukti hakikat kebenaran kenabiannya dan risalah yang dibawa.
Sesungguhnya sirah Baginda Rasulullah merupakan sebuah sirah seorang manusia yang sempurna dalam pembawakan dakwah dan tarbiyyah dari semasa ke semasa tanpa disertai dengan sihir mahupun mukjizat yang jelas ( hissi ) .bahkan Baginda menggunakan jalan yang dilalui oleh manusia biasa sahaja. Apabila Bagunda mengajak kearah kebenaran, Baginda disakit, baginda memerlukan pendokong dalam dakwahnya , bila keadaan terdesak melakukan peperangan maka, Baginda berperang, baginda menjadi hakim dan dihakimi, Baginda mendapat tempat dalam kepimpinan, bahkan, Baginda tidak wafat sebelum menyebarkan dakwah ke seluruh kepulauan arab dengan jalan keimanan bukan jalan kekerasan dan paksaan.
Barangsiapa yang mengetahui adat-adat orang arab dan akidah-akidah sesat mereka dan apa yang mereka lakukan pada dakwah Rasulullah SAW dari setiap segi sehingga perancangan untuk membunuh baginda, dan barangsiapa mengetahui bagaimana kesukaran dan keparahan yang dialami Rasulullah dalam setiapa peperangan yang ditempuhinya dan barangsiapa yang mengetahui pergerakan dakwah dan tarbiyyah Rasulullah sehingga Baginda wafat- 23 tahun- , maka mereka akan yakin bahawa Muhammad itu adalah sebenar-benar Rasulullah. tiada yang dapat membohongi sirah Baginda selain Allah SWT menunjukkan dan menjelaskan pembohongan mereka.
Kita semua mengakui bahawa risalah yang dibawa oleh Rasulullah merupakan sebuah risalah yang dapat diterima oleh akal fikiran yang waras, kerana dalam dakwah Rasulullah,Rasulullah tidak menjadikan mukjizat sebagai perkara asas dalam dalam membentuk semula keimanan orang arab. Bahkan kita tidak menemukan suatu mukjizat pon yang diimani oleh orang-orang kafir kerana mukjizat hissi itu hanya dapat diimani oleh orang yang dapat melihatnya bahkan tidak kepada yang tidak melihatnya.
Banggalah kalian!! kalian tidak langsung pernah melihat Rasulullah dan mukjizat hissinya tetapi kalian beriman dengan risalah Baginda yang dibawa melalui bukti-bukti yang masuk akal dalam kenabiannya. Inilah bukti yang masuk akal - Al-Quran- ia adalah mukjizat yang masuk akal ( mukjizat `aqliyah ) , ia menjadikan setiap akal yang waras mempercayai dan beriman dengan risalah keimanan yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Inilah keistimewaan yang membezakan sirah Rasulullah dengan para nabi yang lain secara total. sesungguhnya nabi-nabi yang lain kebanyakan mereka mendapat kepercayaan keimanan setelah mereka menunjukkan kepada ummat mereka mukjizat yang mereka dapat dari Allah Azza Wa Jalla.
Allah SWT telah menceritakan kepada kita hal-ehwal Al-Masih Isa AS didalam Al-Quran bahawa Baginda Al-MAsih menggunakan mukjizat menyembuhkan penyakit kulit dan sopak, menyembuhkan orang sakit, menghidupkan orang mati, dan sebagainya. semua itu adalah atas kehendak Allah semata-mata. dan Bible yang wujud pada masa kini telah mengambil kesempatan dengan mengatakan Mukjizat yang diberikan Allah kepada Al-Masih AS adalah alamat/tanda ketuhanan Baginda , mereka telah menyelewangkan fakta , mereka membuat fakta mereka sendiri yang bertentangan dengan penjelasan Al-Quran. Al-Quran mengajar kita bahawa Al-Masih adalah Rasul bukannya Tuhan Jesus. Maha suci Allah!! sesungguhnya Allah tidak punya sekutu. Para penggikut kristian mempercayai segala mukjizat yang mengalahkan pemikiran adat kebiasaan sesuatu itu sebagai suatu kelebihan untuk diiktiraf sebagai tuhan, sehinggakan kita dapat melihat seolah-olah Ajaran yang dibawa oleh Al-Masih AS adalah ajaran yang berpaksi kepada Mukjizat dan perkara luar biasa bukan berdasarkan kefahaman Akal yang waras.
Berlainan pula yang dilihat dalam sirah Nabi Muhammad SAW, kita akan dapati sirah baginda merupakan sirah yang cukup jelas , para sahabat yang memeluk agama Islam , meletakkan keimanan dan kepatuhan kepada Rasulullah bukanlah atas landsan mukjizat yang bertentangan dengan hukum akal bahkan mereka beriman atas kesedaran pemikiran akal yang waras.
Sesungguhnya Allah SWT memuliakan para Rasul-Nya dengan mukjizat-mukjizat, oleh itu Allah memberikan mukjizat yang teragung kepada Baginda Rasulullah SAW dengan mukjizat Al-Quran. Allah mengalahkan pemikir-pemikir kuffar dengan Al-Quran. Barangsiapa yang mengikuti Al-Quran secara total, nescaya mereka akan dapati Al-Quran merupakan sebuah Penyusunan yang berlandaskan hukum pemikiran yang waras, dan melihat kehebatan ciptaan Allah SWT yang agung , bahkan mereka akan takjub apabila mengetahui Muhammad SAW yang buta huruf itu yang membawa Al-Quran. Al-Quran menjadi wasilah dakwah Rasulullah SAW, Al-Quran telah menjadikan kita yakin bahawa Muhammad bin Abdullah adalah nabi dan utusan Allah untuk kita.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Ankabut :
50. Dan orang-orang kafir Mekah berkata "Mengapa tidak diturunkan kepadanya mukjizat-mukjizat dari Tuhannya?" Katakanlah: "Sesungguhnya mukjizat- mukjizat itu terserah kepada Allah. Dan sesungguhnya aku hanya seorang pemberi peringatan yang nyata."
51. Dan apakah tidak cukup bagi mereka bahwasanya Kami telah menurunkan kepadamu Al Kitab (Al Quran) sedang dia dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya dalam (Al Quran) itu terdapat rahmat yang besar dan pelajaran bagi orang-orang yang beriman.
apabila kaum Quraisy meminta mukjizat ditunjukkan kepada mereka sepertimana umat terdahulu minta maka Allah SWT menurunkan pertolongan kepada Baginda Rasulullah SAW :
90. Dan mereka berkata: "Kami sekali-kali tidak percaya kepadamu hingga kamu memancarkan mata air dan bumi untuk kami,
92. atau kamu jatuhkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana kamu katakan atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan kami.
93. Atau kamu mempunyai sebuah rumah dari emas, atau kamu naik ke langit. Dan kami sekali-kali tidak akan mempercayai kenaikanmu itu hingga kamu turunkan atas kami sebuah kitab yang kami baca." Katakanlah: "Maha Suci Tuhanku, bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi rasul?"
Al-Israa : 91-93
Demikianlah kejelasan dan kefahaman bahawa Nabi Muhammad SAW itu adalah seorang Rasul yang juga merupakan insan biasa, Baginda tidak bergantung kepada mukjizat yang tidak dapat diterima akal akan tetapi, baginda berbicara dan berdakwah dengan pemikiran yang waras dan hati yang ikhlas,
125. Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, niscaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam.- Al-An`am: 125
Wallahu Alam.

No comments:

Post a Comment

Isi Kandungan Kajian