1.Peristiwa Israk
mikraj
Peristiwa Israk
mikraj adalah sebuah cerita yang benar lagi sahih. Peristiwa yang menunjukkan
bukti kenabian Nabi Muhammad saw. Ia dikuatkan dengan ayat al-Quran dan hadis
sahih dalam darjat yang tertinggi. Tiada seorangpun Muslim yang mengingkari
peristiwa itu kerana ia adalah ujian dalam menentukan pendirian umat Islam.
Siapa yang tidak percaya, maka dia telah menjadi kafir.
Sebahagian orang ada
mengatakan bahawa Israk disebut di dalam al-Quran, namun Mikraj hanya disebutkan
dalam hadis. Maka penulisan ini akan berusaha menunjukkan bukti salah faham
itu.
Apa yang lebih
mendukacitakan apabila wujudnya para penceramah dan tukang cerita yang sengaja
menambah-nambah cerita yang sebenarnya tidak ada di dalam kisah Israk Mikraj,
sehingga mencacatkan kisah ini dari sudut akademik.
2. Istilah
Israk membawa maksud
perjalanan Nabi saw di bumi dalam masa yang sangat singkat iaitu sebahagian
dari satu malam sahaja dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidl Aqsa, Palestin.
Manakala Mikraj pula ialah perjalanan dari alam dunia ke sidaratul
muntaha (langit) kemudian kembali semula ke Masjidl Haram, Mekah.
Kedua-dua peristiwa
ini berlaku dalam satu malam sahaja. Ia tidak berlaku dalam mimpi, tetapi ia
berlaku dalam keadaan Nabi saw berjaga. Jika Nabi melakukan perjalanan dalam
keadaan mimpi, maka ia bukanlah satu mukjizat yang pelik. Bahkan, para
penentang Islam juga tidak akan ambil cakna dalam isu ini.
3. Ayat al-Quran
berkaitan al-Israk dan al-Mikraj
1) Surah
Al-Isra’ : 1
"1.
Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari
dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami
berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan
dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha
mengetahui."
Penjelasan
: Ayat al-Quran ini menjadi bukti yang
paling kukuh dalam menyatakan peristiwa Israk itu benar-benar berlaku dalam
satu malam sahaja. Ia juga menjelaskan bahawa Israk ini adalah salah satu dari
mukjizat Nabi Muhammad saw. Maka, mukjizat itu tidak menjadi mukjizat jika ia
hanya berlaku dalam mimpi sahaja. Ia pasti berlaku ketika Nabi Muhammad saw
sedar.
2)
Surah Al-Isra’ : 60
"60.
dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad), bahawa
sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmu-Nya dan kekuasaan-Nya);
dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah Kami
perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian
juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka
takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka
melainkan dengan kekufuran yang melampau."
Penjelasan
: Ayat ke 60 ini menjadi bukti bahawa kejadian Mikraj juga
disebutkan di dalam al-Quran. Ia menjadi bukti yang menguatkan hadis-hadis yang
saya akan kemukakan kemudian bahawa Nabi Muhammad saw diperlihatkan dengan
pelbagai kejadian aneh yang menambahkan keimanan dalam peristiwa Mikraj. Hanya
orang beriman sahaja yang akan percaya peristiwa ini, manakala golongan kafir
dan munafik akan menunjukkan kekufuran yang jelas nyata.
4.
Hadis sahih berkaitan Israk dan Mikraj
Saya
tidak berhajat untuk menyebutkan kesemua hadis sahih berkaitan peristiwa Israk
dan Mikraj, tetapi saya berikan hadis yang lengkap dan paling sahih tentang
peristiwa ini.
1. HR
Muslim : 429. Kitab Iman, Bab Israk Rasul dan Kewajipan Solat.
Imam
Muslim merekodkan: Syaiban bin Farruj menceritakan kepadaku daripada Hammad bin
Salamah, daripada Sabit bin al-Bunani, daripada Anas bin Malik bahawa
Rasulullah berkata:
Aku
telah didatangi al-Buraq - Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih
besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya
sehinggalah perut al-Buraq tersebut mencecah bumi.-
Tanpa
membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitul Maqdis.
Lalu aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh
para Nabi. Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan solat
sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku
didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih
susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah.
Lalu
Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan
pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril
a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s
ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan.
Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika itu aku bertemu dengan Nabi Adam a.s,
beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan.
Seterusnya
aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu.
Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s
ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s
ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah
diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa ibnu
Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku
dengan kebaikan.
Aku
dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu.
Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s
ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s
ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah
diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf
a.s ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus
menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku
dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu.
Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s
ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s
ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah
diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi
Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah
s.w.t Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi
darjatnya.
Aku
dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran
suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya
lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya
lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan.
Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia
terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku
dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu.
Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s
ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s
ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah
diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa
a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Aku
dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan.
Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s
ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s
ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah
diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi
Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur.
Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar
mereka tidak kembali lagi kepadanya.
Kemudian
aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah
manakala buahnya pula sebesar tempayan. Ketika aku merayau-rayau meninjau
kejadian Allah s.w.t, aku dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari
makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya.
Lalu
Allah s.w.t memberikan wahyu kepada aku dengan mewajibkan solat lima puluh
waktu sehari semalam. Tatakala aku turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia
bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Aku
menjawab: Solat lima puluh waktu. Nabi Musa a.s berkata: Kembalilah kepada
Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya.
Aku pernah mencuba Bani Israil dan memberitahu mereka.
Lalu
aku kembali kepada Tuhanku dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan
kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan sehingga lima waktu solat.
Aku
kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima waktu
solat dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya.
Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi.
Aku
tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah
s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan
hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap solat fardu diganjarkan dengan
sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu solat fardu sama
dengan lima puluh solat fardu.
Begitu
juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya,
nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka
dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin
melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun
dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu
kejahatan baginya.
Lalu
aku turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya.
Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda
menyahut: Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan
aku malu kepada-Nya.”
Nota
: Hadis yang mempunyai kandungan serupa
direkodkan juga oleh al-Bukhari dalam bab Mikraj, no 3800.
Hadis
Sahih yang berkaitan juga boleh di dapti dalam rekod berikut : Al-Bukhari:
3394, 3437, 4709, 5576, 5603. Muslim : 272. Ahmad: 512.
2. Muslim: 448. Kitab
Iman, Bab Memperingati al-Masih Ibnu Maryam dan al-Masih ad-Dajjal
Aku
telah merenung diriku di hijr Ismail, orang-orang Quraisy bertanya kepadaku
mengenai perjalanan malamku (pada waktu isra’ dan mi’raj, pent). Mereka
menanyakan beberapa perkara mengenai Baitul Maqdis yang belum aku ketahui
dengan pasti sehingga aku pun merasakan kesusahan yang sama sekali belum pernah
aku rasakan sebelumnya. Maka Allah pun mengangkatnya untukku agar aku dapat
melihatnya. Dan tidaklah mereka menanyakan kepadaku melainkan aku pasti akan
menjawabnya.
Aku
telah melihat diriku bersama sekumpulan para Nabi. Dan tiba-tiba aku
diperlihatkan Nabi Musa yang sedang berdiri melaksanakan solat, ternyata dia
adalah seorang lelaki yang kekar dan berambut keriting, seakan-akan orang bani
Syanuah. Aku juga diperlihatkan Isa bin Maryam yang juga sedang berdiri
melaksanakan sholat. Urwah bin Mas’ud As-Tsaqafi adalah manusia yang paling
mirip dengannya.
Telah
diperlihatkan pula kepadaku Nabi Ibrahim yang juga sedang berdiri melaksanakan
solat, orang yang paling mirip denganya adalah sahabat kalian ini; yakni diri
baginda sendiri.
Ketika
waktu solat telah masuk, akupun mengimami mereka semua. Dan seusai melaksanakan
solat, ada seseorang berkata, ‘Wahai Muhammad, ini adalah malaikat penjaga api
neraka, berilah salam kepadanya! ‘ Maka akupun menoleh kepadanya, namun ia
segera mendahuluiku memberi salam.
Penjelasan
: Hadis ini menjelaskan bahawa kaum Quraisy bertanya Nabi saw
berkenaan peristiwa Israk dan Mikraj. Lalu baginda dapat menceritakan dengan
jelas kisah tersebut apabila Allah memberi kurniaan ingatan dengan
diperlihatkan semula kejadian tersebut.
Hujah yang jelas yang telah saya sebutkan di atas
menjadi bukti kewujudan peristiwa Israk dan Mikraj. Bahkan, sebagai umat Islam
kita hendaklah mempercayainya dengan sebulat hati. Ia termasuk dalam
mempercayai perkara-perkara ghaib yang disampaikan oleh Rasulullah saw.
5.
Cerita Palsu berkenaan Israk Mikraj
Dalam
kesempatan yang singkat ini, saya mengambil beberapa kisah yang sering
diceritakan dan disebarkan ketika Israk dan Mikraj. Tetapi sandarannya sangat
lemah, atau tiada sandaran langsung.
Saya
jadikan kisah-kisah yang didapati dari sebaran internet sebagai panduan.
1. Jibril
Tidak boleh Menemani Rasulullah
“…
Akhirnya Rasulullah Saw sampai di satu tempat yang tidak pernah seorang pun
manusia sampai ke situ walaupun dia seorang Rasul dan Nabi. Kemudian Rasululah
Saw melalui satu kawasan yang Malaikat pun tidak pernah sampai kesitu kecuali
Jibril. Sampai di satu tempat Jibril meminta Rasulullah Saw bergerak ke hadapan
dan dia berkata: "Kalau aku ke hadapan walaupun selangkah, aku akan
terbakar”
Apabila
dikaji, kisah ini terdapat dalam rekod Ibnu Hibban dalam kitab beliau
“Al-Majruhin – pengkelasan orang yang ditolak dalam periwayatan.” (11/3).
Dalam
hadis tersebut dinyatakan sanad hadis di atas: - Disampaikan kepadaku oleh
Muhammad bin Badwisat an-Nasawi bahawa Humaid bin Zinjawaih meriwayatkan
daripada Muhammad bin Abi Khidasy al-Musily, daripada Ali bin Qutaibah daripada
Maisarah bin Abdur Rabbihi, daripada Umar bin Sulaiman ad-Dimasyqi, daripada
Adh-Dhahaq, daripada Ibnu Abbas berkata…
Imam
Ibnu Hibban berkata : Kecacatan hadis ini adalah Maisarah bin Abdur Rabbihi
al-Farisi adalah salah seorang dari penduduk Dauraq. Dia sering menyampaikan
hadis yang palsu yang disandar kepada orang yang kukuh periwayatannya. Dia
memalsukan hadis lalu disandarkan kepada orang yang dipercayai bagi menggalakkan
orang untuk melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan. Tidak halal menulis
hadis daripada melainkan untuk mengambil iktibar akan perbuatannya..
Imam
al-Bukhari menyebutkan tentang Maisarah bin Abdur Rabbihi dalam kitabnya
Ad-Dhu`afa as-Shoghir : Maisarah dihujani dengan label penipu.
Imam
an-Nasaie pula berkata dalam bukunya Ad-Dhu`afa’ al-Matrukin: Maisarah bin
Abdur Rabbihi adalah seorang yang ditinggalkan penyampaian hadisnya.
Justeru
itu, kisah ini tertolak kerana wujud pemalsuan. Pemalsu kisah ini juga dengan
sengaja memalsukan hadis dengan tujuan baik. Bahkan itulah kebiasaan manusia
yang baik tapi tiada ilmu, maka mereka menghalalkan sesuatu yang diharamkan
Allah untuk mencapai kebaikan yang lain.
Kisah-kisah
yang dibawah ini juga berada di dalam hadis yang sama, cumanya saya pecahkan
kerana mahu memecahkan kepada perbahasan yang boleh memberi manfaat.
insyaAllah.
2. Peristiwa Israk dan
Mikraj berlaku pada bulan 27 Rejab.
Tarikh
kalender Hijrah tidak pernah ada pada zaman Nabi saw. Ia dicipta selepas Nabi
saw wafat. Bahkan, orang Arab dahulu sangat suka bermain-main dengan tarikh.
Seandainya tarikh 27 Rejab itu adalah tarikh mulia bagi umat Islam, nescaya
para sahabat telah mengingatinya. Apa yang penting dalam kisah Israk Mikraj ialah
peristiwa yang berlaku, bukanlah waktu dan tarikhnya.
Justeru
itu tidak ada satu ketetapan bahawa peristiwa ini berlaku pada 27 Rejab. Para
Ulama berbeza pendapat dalam menentukan waktu berlakunya Israk dan
Mikraj.
1.
Dikatakan
peristiwa ini berlaku semasa tahun Allah SWT mengurniakan kenabian kepada Nabi
saw. Ini adalah pendapat Imam at-Tobari.
2.
Dikatakan
peristiwa ini berlaku selepas 5 tahun Nabi SAW diutuskan sebagai Rasul. Ini
adalah pendapat yang dirajehkan oleh Imam an-Nawawi dan al-Qurtubi..
3.
Dikatakan
peristiwa ini berlaku semasa malam ke dua puluh tujuh daripada bulan Rejab,
iaitu dalam tahun ke sepuluh kenabian.
4.
Dikatakan
berlaku pada 16 bulan sebelum tempoh berlakunya hijrah, iaitu dalam bulan
Ramadan pada tahun ke dua belas kenabian.
5.
Dikatakan
berlaku pada setahun dua bulan sebelum tempoh berlakunya hijrah, iaitu dalam
bulan Muharram pada tahun ke 13 kenabian.
6.
Dikatakan
juga berlaku pada setahun sebelum tempoh berlakunya hijrah, iaitu dalam bulan
Rabi’ al-Awwal pada tahun ke sepuluh kenabian.
Tiga
pendapat pertama di atas ditolak. Ini kerana, isteri Nabi SAW iaitu Saidatina
Khadijah wafat dalam bulan Ramadan pada tahun ke sepuluh kenabian. Sedangkan
para ulama hadis telah bersepakat bahawa ibadah solat difardukan selepas
daripada kewafatan Saidatina Khadijah iaitu semasa peristiwa Israk dan Mikraj.
3. Melihat dunia dalam
keadan wanita yang telah tua.
Cerita
ini direkodkan dalam Tafsir at-Tobari (6/15), al-Baihaqi dalam Dalail, dan Ibnu
Kathir dalam Tafsirnya (5/3). Lalu mereka berkata, ‘Dalam sebahagian lafaznya
terdapat sesuatu yang tidak dapat diterima dan pelik.
Hadis
ini dikategori sebagai lemah yang tiada penguat kerana penyampai cerita ini
iaitu Abdul Rahman bin Hashim adalah seorang yang tidak dikenali biografinya
dalam dunia hadis. Ia tidak boleh dibuat hujah.
4. Kaum yang sedang
bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka.
Menurut
cerita, apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum
lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah dibertahu oleh Jibrail
: Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan
sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
Ibnu
Kathir mengulas hadis ini dalam kitab Tafsirnya, “Hadis ini sebahagian lafaznya
sangat ganjil dan pelik… seolah-olah ia adalah kumpulan hadis yang berbeza-beza
atau berlaku ketika mimpi dan tidak berlaku ketika peristiwa Israk Mikraj.”
5. Sekumpulan orang yang
sedang memecahkan kepala mereka.
Setiap
kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian
dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang
berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
Cerita
ini tidak berlaku ketika peristiwa Mikraj, tetapi ia diperlihatkan oleh Allah
kepada Nabi Muhammad dalam mimpi baginda. Ia boleh dirujuk dalam Sahih
al-Bukhari, no 7074.
Hadisnya
berbunyi, “..semalam aku bermimpi bahawa telah datang kepadaku dua tetamu,
mereka mengajakku keluar dan berkata kepadaku: “mari jalan”, lalu akupun pergi
bersama keduanya, lalu kami mendatangi seorang yang lagi berbaring terlentang
dan seorang lagi berdiri sambil memegang sebongkah batu, ia melemparkan batu
tersebut ke kepalanya (orang yang berbaring terlentang tadi), batu tadi
akhirnya memecahkan kepalanya…… Adapun orang yang memecahkan kepalanya dengan
batu ialah orang yang mengambil al-Quran kemudian membuangnya lalu tidur dari
mengerjakan solat yang wajib.”
6. Sekumpulan orang yang
hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain.
Mereka
dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka
Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta
mereka.
Cerita
ini juga tidak berlaku ketika Mikraj, tetapi berlaku di dalam mimpi Nabi saw
sepertimana yang direkod oleh al-Bukhari, no. 7074.
7. Satu kaum, lelaki dan
perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di
sisi mereka.
Kata
Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan
perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
- Lihat
penjelasan di bawah.
8. Satu kaum yang sedang
menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali.
Setiap
kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail:
Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak
melakukannya.
Ibnu
Kathir mengulas hadis ke 7 dan 8 ini dalam kitab Tafsirnya, “Hadis ini
sebahagian lafaznya sangat ganjil dan pelik… seolah-olah ia adalah kumpulan
hadis yang berbeza-za atau berlaku ketika mimpi dan tidak berlaku ketika
peristiwa Israk Mikraj.”
Kata
Adz-Dzahabi, “Hadis ini munkar (palsu) yang menyerupai cerita-cerita dari
panglipulara. Ia diberitahu untuk disampaikan cerita (yang menarik), bukan
untuk dijadikan hujah.”
9. Melihat kaum bibirnya
laksana unta.
Kisahnya
berbunyi, Rasulullah SAW bersabda: Pada malam aku di-Israkkan oleh Allah, aku
melihat kaum yang bibirnya laksana bibir unta. Dan sesungguhnya ada malaikat
yang diserahi tugas menarik bibir mereka. Kemudian mulut mereka itu diisi
dengan batu yang besar dan nanti akan keluar dari punggung mereka. Lalu aku
(Muhammad) bertanya: “Wahai Jibril, siapakah itu?” Jibril menjawab: “Mereka
adalah orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan zalim.”
Cerita
ini direkod dalam beberapa kitab tafsir. Malangnya ia adalah suatu hadis yang
sangat lemah menurut penilaian Syeikh al-Albani sekalipun azab tersebut disebut
dalam surah an-Nisa` ayat 10. Apa yang nyata adalah azab tersebut tidak dilihat
oleh Rasulullah ketika Mikraj, tetapi ia adalah peringatan al-Quran yang sangat
jelas.
Pembohongan
Atas Nama agama dengan ‘sengaja’
Apabila
meneliti sebahagian hadis-hadis yang telah saya nyatakan di dalam penulisan
ini, saya dapati ramai penceramah dan pendakwah suka menyebarkan sesuatu yang
tidak dikaji kesahihannya terlebih dahulu. Akhirnya mereka menyebarkan penipuan
demi penipuan atas nama Rasulullah saw.
Berhati-hatilah
dengan sebarang kata-kata kita, kerana Nabi saw pernah mengingatkan,
إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ
كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ
مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Sesungguhnya
berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang
lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan
sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
(HR al-Bukhari: 1291)
Apa
yang terbaik buat kita ialah kita cuma berbicara pada perkara yang kita tahu
kesahihannya sahaja. Manakala sesuatu yang menarik tetapi tidak diketahui
kesahihannya sangatlah berbehaya untuk disebarkan.
Dr.
Muhammad Asri berkata, “Mungkin ada pembaca hadis palsu merasakan mereka tidak
bersalah, sebab mereka hanya memetik daripada buku-buku mereka baca yang
memuatkan hadis-hadis palsu. Maka mereka merasakan mereka hanya menyebarkan,
maka tidak patut dipersalahkan. Mereka lupa penyebar hadis palsu sama ada
menerusi ucapan atau tulisan, dia dalam masa yang sama sebenarnya menipu orang
lain apabila menyandar sesuatu perkara kepada Nabi SAW tanpa bukti yang sah.
Pendengar akan terpedaya lalu mengamalkan perkara yang dianggapnya daripada
Nabi saw, sedang ia bukan seperti yang disangkakan.”
والله تعالى أعلم بالصواب