ads 728x90 B

Isu: Mengapa Kitab Syeikh Sofiyurrahman dinamakan "Ar-Rahiq al-Makhtum"?


Jawapan: penulis kitab ini iaitu Syeikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri tidak menjelaskan mengapa beliau menamakan kitab ini dengan nama ar-Rahiq al-Makhtum. Tetapi, perkataan tersebut ditemui di dalam surah al-Mutaffifin ayat yang ke 25. 

Ayat tersebut menyebutkan:
 يُسۡقَوۡنَ مِن رَّحِيقٖ مَّخۡتُومٍ ٢٥
25. Mereka diberi minum dari satu minuman yang rahiqim makhtum.

Dalam menafsirkan ayat di atas, para ulama menyebutkan: 

Tafsir al-Qurtubi: iaitu air yang tiada campuran baginya. Dikatakan juga maksud ar-Rahiq ialah arak yang suci (as-safiyyah). Al-`izz Abduss Salam mengatakan inilah pendapat jumhur.[1]

Tafsir as-Sam`ani: diriwayatkan oleh masruq daripada Ibnu Mas`ud dan Sa`id bin Jubair daripada Ibnu Abbas bahawa kedua-duanya telah berkata: Ar-Rahiq ialah arak. Dikatakan ia adalah minuman yang tiada campuran padanya. Manakala Makhtum pula ialah: Yang tidak disentuh oleh tangan-tangan.
 
Apa yang saya fahami daripada maksud ini apabila ia disandarkan kepada sirah Nabi Muhammad ialah: Syeikh Sofiyurrahman mahu menyampaikan sebuah fakta sirah yang tidak bercampur dengan fakta yang tidak benar dan menyimpang. Beliau mahu menyampaikan satu bentuk penceritaan sirah yang suci yang terpelihara ketulinannya.


[1] Tafsir Al-Izz – ia ialah ringkasan daripada tafsir al-mawardi. Darul Ibnu Hazmin, Beirut, Lubnan. Jilid 3, ms: 431.
__________
Syihabudin Ahmad, 
15 April 2015,
Sungai Buloh

No comments:

Post a Comment

Isi Kandungan Kajian